RM3 juta tingkat aspek kebersihan, keceriaan negeri - Utusan Malaysia

RM3 juta tingkat aspek kebersihan, keceriaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi usaha meningkatkan tahap kebersihan dan mewujudkan aspek keceriaan di negeri ini dalam tempoh enam bulan ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, empat perkara akan diberi tumpuan menerusi usaha itu iaitu kerja-kerja pemotongan rumput, penyelenggaraan parit, saliran dan sungai, kerja mencantas pokok dan pengurusan sampah.

“Kita sedia maklum Melaka merupakan negeri yang sentiasa mementingkan aspek kebersihan dan ia akan diteruskan lagi apabila kita akan beri tempoh enam bulan untuk semua empat perkara tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejumlah RM1.5 juta akan diambil daripada tabung infrastruktur manakala RM1.5 juta lagi adalah sumbangan daripada Ahli Parlimen Kota Melaka,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Menurut Adly, penglibatan pihak swasta juga akan digunakan mengambil contoh beberapa program kebersihan yang dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat di seluruh negeri.

Sementara itu, Adly berkata, Sistem Tender Online Melaka (STOM) akan diguna pakai dan dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan antara jabatan dan agensi pembekal.

Menurutnya, semua syarikat atau pembekal yang ingin membuat pembelian dokumen secara dalam talian perlu berdaftar dengan STOM dan dikenakan caj langganan RM50 setahun.

“Kaedah penyebaran iklan tender atau sebut harga dapat dibuat dengan lebih efisien dan sistematik serta memudahkan penyemakan status atau keputusan urusan berkenaan menerusi laman web dan e-mel,” katanya.

STOM menurut Adly akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pembelian dokumen tender atau sebut harga secara dalam talian.

Ia juga bakal menjadi pangkalan data berpusat yang mempunyai maklumat terkini syarikat pembekal dan sekali gus menjimatkan kos pencetakan dokumen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini