KUALA LUMPUR- Seorang remaja lelaki ditahan polis hari ini kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah masuk serta curi tabung surau di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang dekat sini.
Suspek berusia 17 tahun yang berasal dari Sabah itu ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi di kawasan perumahan Sri Tanjung, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dekat sini oleh sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komsioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mensasarkan surau di sekitar kawasan Bandar Baru Bangi dan Kajang serta mengaku pernah banyak kali melakukan kegiatan tersebut.
“Remaja itu berjaya diberkas hasil maklumat orang awam serta rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian. Ketika ditahan, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah masuk rumah serta surau dirampas.
“Jumlah kerugian dan jumlah kes yang melibatkan suspek masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Broline Benson di talian 019-6938032,” katanya.-UTUSAN ONLINE











