NABILA YASMIN RAZIB/PIX KUALA LUMPUR 18 Jun – Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) akan memulakan operasinya pada suku keempat tahun ini. Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata operasi komersial penuh projek bernilai AS$16 bilion (RM67 bilion) itu akan menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bersih bahan api bertapis untuk kali pertama sejak 2008. “Usaha sama di antara Petronas dan Saudi Aramco ini menandakan perkongsian bersejarah antara dua syarikat minyak nasional yang paling berjaya di dunia. “Kerjasama itu turut membawa bersama-sama sumber, teknologi, pengalaman, kepakaran dan kehadiran komersial yang meluas untuk manfaat kedua-dua syarikat dan kedua-dua negara,” katanya dalam ucapan perasmiannya di Pameran Minyak, Gas dan Petrokimia Asia (OGA) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











