Qatar, geopolitik, bola sepak - Utusan Malaysia

Qatar, geopolitik, bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 23 Mei lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan rancangan untuk menambah pasukan bertanding dalam Piala Dunia 2022 daripada 32 kepada 48 pasukan tidak akan dilaksanakan di Qatar. Rundingan dan perdebatan yang telah berlangsung dalam suasana panas itu berakhir dengan Qatar boleh dianggap sebagai pemenang dalam persaingan geopolitik berdepan negara-negara jiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi yang turut memiliki pertaruhan besar dalam persaingan bola sepak dengan Qatar.

Qatar memenangi hak mengendalikan Piala Dunia 2022 pada 2010 dan projek mega ini menjadi salah satu medan meningkatkan imejnya di peringkat global sebagai sebahagian projek bola sepak yang menjadi sumber kuasa lunaknya dalam hubungan antarabangsa. Qatar membina imej dengan bergaya dan berjaya melalui tajaan dan kerjasama dengan kelab liga utama Sepanyol, Barcelona dan pelaburan-pelaburan lain di liga-liga utama Eropah.

Walaupun ketinggalan di belakang UAE yang berjaya mengaitkan dirinya dengan kelab-kelab ternama Liga Inggeris seperti Manchester City, Qatar mendapat satu kelebihan besar dengan penganjuran Piala Dunia 2022. Qatar sudah pun mencatatkan satu kemenangan yang amat dicemburui UAE dan Arab Saudi apabila memenangi Piala Asia AFC 2019, Januari lalu menewaskan tuan rumah UAE 4-0 di Abu Dhabi. Sebelum itu, Qatar menewaskan Arab Saudi di peringkat kumpulan. Kemenangan oleh pasukan kebangsaan Qatar ini melonjakkan semangat negara kuasa bola sepak itu menuju 2022. Ini kerana di peringkat persaingan kelab ternama Eropah iaitu medan bola sepak paling bernilai di dunia, Qatar agak di belakang UAE yang pelaburan bola sepaknya lebih berjaya dengan tajaan Manchester City dan tersebarnya nama syarikat penerbangan Emirates dan Etihad di jersi pasukan-pasukan terkemuka dari Manchester City ke Real Madrid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Qatar, sementara itu telah melepasi fasa kegemilangan Barcelona dengan nama Qatar terpampang di jersi pasukan popular ini dan pasukan Paris Saint-Germain.

Maka kejayaan menjuarai Piala Asia 2019 dan penganjuran Piala Dunia 2022 amat penting dalam persaingan bola sepaknya dengan UAE dan Arab Saudi selain keperluan lebih besar membina nama dan jenama di peringkat antarabangsa. Keputusan mengekalkan 32 pasukan dan tidak menambah kepada 48 pasukan menandakan kejayaan Qatar menghadapi FIFA yang berkepentingan kewangan dan lobi yang kuat oleh UAE dan Saudi. Lobi dan projek pembinaan yang telah dijalankan oleh Qatar bermakna amat tidak adil sekiranya pertandingan dilibatkan sekali negara-negara jiran yang mendapat jalan mudah menganjur Piala Dunia dan pada sudut lain, tidak cukup persediaan untuk menyiapkan kemudahan menjelang 2022.

Perkembangan sejak awal Qatar dianugerahkan hak melaksana Piala Dunia 2022 menunjukkan tahap persaingan sengit antara kuasa-kuasa bola sepak serantau yang turut melibatkan lobi agresif kempen negatif terhadap kewibawaan Qatar menjadi hos pertandingan berprestij itu.

UAE, bersama Kuwait dan Oman sebelum ini dirancang untuk berkongsi penganjuran Piala Dunia 2022 sekiranya FIFA memutuskan format 48 pasukan dimulakan di Qatar. UAE yang paling berminat dengan prospek peluasan penganjuran ini dengan pegawai bola sepaknya sendiri berkata, negaranya gembira dan bersedia membantu Qatar menganjurkan Piala Dunia 2022.

FIFA akhirnya memutuskan penambahan kepada 48 pasukan akan bermula dalam kejohanan pada 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Pertandingan yang lebih besar dengan 48 pasukan akan memerlukan lebih daripada sebuah negara untuk menganjurkannya.

Tekanan terhadap Qatar oleh kuartet Arab diketuai UAE dan Arab Saudi yang didasari isu geopolitik turut melibatkan perkiraan politik bola sepak yang akan terus menjadi satu medan persaingan antara kuasa-kuasa bola sepak negara kaya di rantau Arab. Sukan bernilai berbilion dolar ini menjadi komponen penting strategi pelaburan negara-negara Teluk terbabit dan pada masa sama menduduki posisi penting dalam strategi dasar luar masing-masing. Dalam persaingan geopolitik negara-negara berpengaruh ini, bola sepak dijangka terus kekal menjadi faktor penting mempengaruhi tindakan semua pihak. Kepentingan sukan ini yang kini bukan sahaja sekadar sukan tetapi industri berkait dengan profil negara peringkat global, kebanggaan dan identiti nasional, menjelaskan persaingan sengit antara Qatar, UAE dan Arab Saudi dalam lapangan ini.

PENULIS ialah penganalisis politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini