KOTA BHARU – Penulis ruangan kesihatan Mingguan Malaysia, Prof. Dr. Nik Hazlina Nik Hussain dinobat sebagai penerima anugerah Tokoh Saidatina Aisyah Abu Bakar bagi menghargai sumbangannya dalam bidang pendidikan sempena sambutan Hari Saidatina Khadijah (HSK) tahun ini.
Beliau yang merupakan pensyarah perubatan dan pakar perunding obstetrik dan ginekologi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerima hadiah termasuk sijil, plak, syiling emas, anak pokok cempaka serta selempang disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam majlis perasmian HSK 2019 di Hotel Grand Riverview di sini semalam.
Dr. Nik Hazlina, 54, adalah antara enam tokoh wanita yang diiktiraf dalam bidang masing-masing termasuklah Zarinah Md. Zain (Saidatina Khadijah Khuwailid – usahawan); K.A. Razhiyah (Saidatina Zainab Khuzaimah – kemasyarakatan); Che Zawiah Che Pa (Al-Khansa’ Amru – kesenian); Sawani Wan Mohamad Nawi (Siti Aminah Abdul Wahab – ibu tunggal) dan Amy Suzani Mohd Ainuddin (Zinnirah Ar Rumiyah – orang kurang upaya (OKU)).
Manakala enam wanita muda turut mendapat pengiktirafan sebagai ikon iaitu pengusaha tudung, Wan Norsyafikah Wan Mat Rifin (Ikon Usahawan); guru agama, Nur Amalina Ismail (Ikon Masyarakat); pensyarah, Dr Rohimah Mohamud (Ikon Pendidikan); pengajar seni seramik, Siti Mariam Mat Nor (Ikon Kesenian); aktivis masyarakat, Nur Imana Balqis Ramli (Ikon OKU) dan atlit kriket, Nurul Fathihah Ibrahim (Ikon Sukan).
Masing-masing menerima hadiah termasuk sijil, plak, anak pokok cempaka dan ‘wafer’ emas yang disampaikan isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid.
Turut mendapat penghormatan dalam HSK 2019 adalah usahawan kosmetik, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang menerima Anugerah Khas Wanita Cakna Kebajikan dan Pengerusi Majlis Pemegang Amanah Kesatuan Wanita Islam Antarabangsa (IMWU), Dr Samia Raheel Qazi yang menerima Anugerah Wanita Antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan wanita, Mumtaz Md Nawi berkata, tokoh dan ikon yang dipilih menepati sebahagian ciri-ciri Saidatina Khadijah jika tidak kesemuanya.
“Ciri-ciri yang ada pada Saidatina Khadijah mesti dicontohi dan diamalkan oleh wanita, kalau orang lelaki ada Rasulullah SAW untuk diikuti, wanita pula ada Ummul Mukminin.
“Kita jangan ingat dalam dunia moden tidak wujud wanita mulia seperti ini, kita juga ketengahkan untuk wanita muda Saidatina Fatimah sebagai ikon supaya golongan muda tidak tercari-cari identiti untuk menjadi wanita solehah, cantik dan berjaya,” katanya.
Mumtaz berkata, kerajaan negeri mempunyai dasar khusus untuk wanita menerusi ‘Gagasan Wanita Kelantan’ dengan lima matlamat utama iaitu melahirkan wanita yang cakna, dinamik, bijaksana, solehah dan sakinah.
Lebih 4,000 peserta termasuk dari luar negara menghadiri pelbagai program yang dianjurkan sempena HSK 2019 yang bermula Ahad lalu sehingga hari ini.
Antara pengisian adalah mesyuarat IMWU yang dihadiri 40 delegasi dari 18 buah negara; Forum Muslimah Muda Antarabangsa (Alyoum) dan Persidangan Muslimah Antarabangsa Kelantan (Misk) yang melibatkan pembentangan 67 buah kertas kerja tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN ONLINE











