BESUT 24 Jun – Politeknik Besut menempa sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menerima pelajar autisme untuk mengikuti pengajian Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) di kampus itu semalam.
Nik Muhammad Husni Nik Lah @ Nik Abdullah, 20, merupakan antara 48 pelajar yang mendaftar diri di politeknik itu untuk mengikuti pengajian selama tiga tahun yang disaksikan oleh Pengarah Politeknik Besut, Che Mukhtar Bakar.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu mula belajar di tingkatan satu arus perdana Sokolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah dekat sini.
Bagaimanapun Nik Muhammad Husni dirujuk ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) apabila berkelakuan senyap di dalam kelas, namun ibu-bapanya berusaha meningkatkan pencapaiannya dengan mendapatkan guru bimbingan di rumahnya.
Usaha tersebut ternyata tidak sia-sia apabila Nik Muhammad Husni kemudiannya berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) seterusnya layak masuk ke aliran sains.
Kejayaan itu menjadikan dirinya sebagai pelajar inklusif kerana walaupun merupakan pelajar autisme tetapi mampu menempatkan diri untuk belajar di kelas arus perdana.
Pencapaian itu turut mendapat pengiktirafan Jemaah Nazir Kebangsaan (JNK) kerana dalam sejarah pendidikan negara, Nik Muhammad Husni merupakan satu-satunya pelajar autisme yang mampu belajar di kelas aliran sains.
Pelajar ini tidak kurang hebatnya dalam kegiatan ko-kurikulum apabila setiap tahun mewakili sekolah dan daerah dalam tilawah al-Quran selain penyertaan dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Pelajar yang bercita-cita menjadi seorang pengaturcara komputer itu juga menjadikan Bill Gates sebagai idolanya walaupun memiliki kecacatan. – UTUSAN ONLINE











