Polis tumpaskan geng samun bersenjata pistol - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan geng samun bersenjata pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 25 Jun – Polis berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata di sebuah kediaman di Pasir Puteh di sini dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM450,000 apabila tertangkapnya dua suspek dari Geng Ben Tuck.

Dalam serbuan pukul 3.35 petang Sabtu lalu, suspek berusia 39 dan 45 tahun, yang masing-masing merupakan seorang peniaga dan penghantar barang, berjaya ditahan di sebuah kondominium di kawasan sama hasil risikan pasukan petugas khas yang ditubuhkan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian samun tersebut berlaku pada 3 Jun lalu pada pukul 5.15 pagi dan antara yang dilarikan ialah wang tunai kira-kira RM61,500 dan barang kemas bernilai RM70,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek berkenaan masing-masing memiliki satu dan lima rekod jenayah lampau termasuk di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

“Dalam tangkapan ini, polis berjaya menjumpai semula antara barang-barang yang disamun di kondominium yang diduduki oleh suspek peniaga tersebut.

“Kita juga menemukan sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu bersama 14 butir peluru. Menurut suspek peniaga itu, dia mengaku memiliki pistol berkenaan pada harga RM7,000 dari negara jiran, beberapa minggu sebelum kejadian samun tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Antara barang-barang yang berjaya dijumpai semula termasuklah sebuah kereta jenis Lexus, sebuah kereta jenis Toyota Estima, tiga telefon bimbit jenama Huawei, dua telefon bimbit jenis Iphone, satu telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Note 8, sehelai baju jaket jenama Padini dan 10 botol minuman keras pelbagai jenama dianggarkan berharga RM10,000.

Mohd Ali berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut beliau, geng berkenaan dipercayai bukan terdiri daripada sindiket sebaliknya baru pertama kali melakukan kegiatan samun.

“Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes ini justeru telah direman bermula 23 hingga 28 Jun ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini