JOHOR BAHRU – Polis menahan 10 lelaki dan seorang wanita kerana dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Abdullah Tahir, Taman Abad di sini pada awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian pergaduhan melibatkan dua kumpulan pada 2.30 pagi itu menyebabkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai jurujual dilaporkan mati.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia di rumahnya di Taman Perling pada hari sama pukul 2.30 petang dan hasil bedah siasat dijalankan mendapati kematian lelaki itu disebabkan kecederaan di kepala akibat dipukul objek tumpul.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian pergaduhan itu berlaku disebabkan salah faham yang bermula di dalam sebuah pusat hiburan di sini sehingga oa berlarutan ke luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 26 tahun kini direman sehingga 30 Jun ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Saya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh hubungi hotline Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superitenden Zamri Shariff di talian 019-4240480,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











