JOHOR BAHRU – Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta dan menahan tiga lelaki tempatan termasuk dalang utama dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 31 Mei lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu turut menyita pelbagai barangan termasuk dua buah kereta dengan nilai keseluruhan RM178,800.
Menurutnya, empat serbuan itu masing-masing di sebuah gudang di Taman Mount Austin, Plaza Tol Kulai dan rumah di Taman Desa Tebrau dan Taman Mount Austin itu merupakan hasil intipan dan risikan polis yang dilakukan selama lima bulan.
“Dalam serbuan itu, kita merampas pil erimin 5 sebanyak 119,400 biji, pil ekstasi (17,450 biji), serbuk ekstasi (8,414 gram), ketamin (220 gram) dan cecair syabu (415 gram) yang dianggarkan nilai pasaran mencecah RM3.2 juta.
“Kita juga menahan tiga lelaki yang berusia antara 27 hingga 31 tahun dengan dua daripada mereka positif penggunaan dadah dan ketiga-tiga lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Pusat Media IPK Johor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Mohd. Khalil berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari utara dan dihantar ke negeri ini untuk dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 31 Mei lalu hingga 7 Jun ini,” katanya polis masih memburu saki baki kumpulan itu.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE.











