PARIT – Sebanyak 3,415 saman melibatkan pelbagai kesalahan dikeluarkan Polis Trafik Perak Tengah dalam operasi sepanjang bulan Ramadan lalu dan menerusi Op Selamat 15/2019 sehingga semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, daripada jumlah saman yang dikeluarkan itu, sebanyak 2,632 saman pada bulan Ramadan manakala 783 saman pula sepanjang Op Selamat yang bermula 29 Mei lalu.
Katanya, saman yang dikeluarkan pada bulan Ramadan mencatatkan kesalahan melebihi had laju adalah paling tinggi iaitu 1,824 saman diikuti kesalahan lesen memandu (387), tali pinggang keledar (98) dan Lesen Kenderaan Motor atau LKM (91).
“Saman pada Op Selamat 15 sehingga hari ke-12 semalam turut merekodkan pandu laju sebagai kesalahan tertinggi iaiu sebanyak 602 saman diikuti kesalahan lesen memandu (82), LKM (30) dan tali pinggang keledar (21),” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, antara kesalahan trafik lain yang turut dikesan dilakukan oleh pengguna jalan raya ialah melanggar lampu isyarat, mengubahsuai kenderaan, tidak memakai tali pinggang, tiada lesen memandu dan tidak menampal pelekat L dan P.
“Kesemua saman ini dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan di beberapa lokasi termasuk Pusat Perniagaan Seri Iskandar (SIBC), Kilometer 38 dan Kilometer 29, Jalan Lumut -Ipoh,” katanya. – UTUSAN ONLINE











