KUALA TERENGGANU – Polis negeri ini memandang serius perbuatan menyebarkan berita palsu terutama melibatkan kes penculikan dan viral di media sosial sehingga menimbulkan ketakutan dan kegemparan kalangan masyarakat.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Alaudeen Abdul Majid menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka terbabit.
Beliau seterusnya merujuk ‘kes culik’ yang dikatakan berlaku di Kampung Jambu Bongkok, Marang semalam sehingga viral dalam media sosial.
Katanya, ‘kes berkenaan’ tersebar dengan meluas kononnya dua budak lelaki berusia 12 tahun nyaris menjadi mangsa culik lelaki India yang menaiki sebuah van berwarna putih.
“Kita dah buat siasatan ‘kes’ itu yang laporan polis dibuat di Balai Polis Merchang, rupanya dakwaan itu tak betul dan palsu. Tidak berlaku kes penculikan sebagaimana diviral.
“Setelah kita siasat, rupanya dua budak lelaki berumur 12 tahun ini telah buat laporan palsu. Sebenarnya dia menipu kerana takut dimarahi ibu bapa di sebabkan mereka pulang lewat selepas main futsal,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Semalam, budak lelaki terbabit dikatakan membuat laporan polis bersama ibunya di Balai Polis Merchang, Marang dengan mendakwa nyaris diculik oleh beberapa lelaki yang menaiki sebuah van berwarna putih di Kampung Jambu Bongkok.
Alaudeen selanjutnya berkata, pihaknya akan mencadangkan untuk mengambil tindakan ke atas budak lelaki terbabit yang didapati membuat laporan palsu sehingga menakutkan orang ramai.
Sehubungan itu beliau menasihati ibu-bapa agar sentiasa mengawasi setiap pergerakan anak-anak terutama di luar waktu persekolahan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku. – UTUSAN ONLINE











