Polis cekup empat lelaki samun wanita di kedai runcit - Utusan Malaysia

Polis cekup empat lelaki samun wanita di kedai runcit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Polis telah memberkas empat lelaki yang terlibat menyamun seorang wanita di Kampung Sungai Gahal Batu 13, Hulu Langat di sini pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, kesemua suspek yang berusia 25 hingga 30 tahun telah menyamun mangsa di sebuah kedai runcit.

“Semasa kejadian, mangsa yang juga pemilik kedai runcit itu didatangi tiga lelaki warga tempatan itu yang berpura-pura membeli air dan ais.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Salah seorang suspek kemudiannya terus menarik gelang mangsa sebelum melarikan diri tetapi tidak lama kemudian, kereta yang dinaiki oleh mereka telah terbabas di kawasan berhampiran kedai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir menambah, seorang daripadanya berjaya ditangkap oleh orang ramai di situ, manakala tiga daripadanya telah terlepas.

“Polis kemudiannya telah menahan tiga lagi suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di sekitar Hulu Langat pada hari yang sama.

“Hasil penahanan suspek itu, polis turut merampas sebuah kereta dan empat buah motosikal yang dilaporkan hilang, serta 10 unit telefon bimbit dan rantai emas,” ujarnya.

Beliau berkata, penangkapan tersebut berjaya menyelesaikan tiga kes samun dan empat kes mencuri motosikal.

“Polis masih mengesan seorang lagi suspek yang dikenali dengan nama Simba.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Norazwan di talian 013-3928357 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini