KUALA LUMPUR 27 Jun – Pokok ikonik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang tumbang pada 6 Januari lalu akibat penyakit selepas berdiri gagah sejak 40 tahun lalu sudah ada penggantinya.
Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Aini Ideris berkata, pokok telinga gajah atau nama saintifiknya, Enterolobium Cyclocarpum itu mempunyai anak yang tumbuh di lokasi sama.
“Anak pokok itu sekarang kita ‘belai’ supaya tahan penyakit,” katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia yang disiarkan di muka surat 18 dan 19, hari ini.
Pohon yang juga digelar Tree of Life UPM itu tumbang akibat serangan kulat Rigidoporus Lignosus yang menyebabkan penyakit akar putih.
Kumpulan pakar UPM yang mula menyedari tanda pokok itu diserang penyakit telah memulihkannya sejak tahun lalu dengan membuat rawatan tanah untuk menggalakkan pertumbuhan pokok, namun pertumbuhan daun dan kalus baharu gagal mengimbangi kerosakan penyakit yang telah lama menyerang dan merebak dengan kadar cepat.
Pohon berkenaan sering menghiasi iklan televisyen, akhbar, majalah, drama dan filem termasuk filem Lagenda Budak Setan lakonan Farid Kamil dan Lisa Surihani.
Kemuncak paparan keindahan pokok tersebut turut diabadikan di ruang angkasa antarabangsa pada 2 Ogos 2017 apabila imej pokok ikonik dan jenama UPM dilakarkan pada pesawat Airbus 320 AirAsia. – UTUSAN ONLINE.











