PKTK Op Bateq ditutup - Utusan Malaysia

PKTK Op Bateq ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Op Bateq ditutup secara rasmi selepas urusan proses pengebumian 15 Orang Asli suku kaum bateq selesai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, PKTK itu ditutup pada pukul 4 petang semalam selepas dihadiri pelbagai agensi dan jabatan kerajaan terbabit.

Beliau berkata, pusat yang dibuka sejak 10 Jun lalu itu bukan sahaja untuk tugasan pengawasan tetapi juga operasi mencari kubur Orang Asli yang meninggal dunia akibat krisis kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selama seminggu operasi mengesan kubur yang ditanam secara adat dilakukan sebelum mayatnya dibedah siasat di Hospital Gua Musang.

“Kita menerima arahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan supaya PKTK itu ditutup selepas jenazah 15 Orang Asli dikebumikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Taufik, PKTK menjadi pusat operasi bagi semua agensi kerajaan yang terbabit dalam memantau krisis kesihatan yang melanda Orang Asli suku kaum itu.

Katanya, bagaimanapun, Kampung Kuala Koh itu masih belum selamat dengan penularan wabak penyakit berjangkit demam campak dan berada dalam zon merah.

“Pasukan Gerakan Am (PGA) akan terus membantu menjaga di laluan jalan ke Kampung Kuala Koh kerana zon merah masih dikekalkan,” katanya.

Semalam, kesemua 15 jenazah yang dipercayai meninggal dunia akibat penyakit jangkitan paru-paru dan wabak measles atau demam campak selamat dikebumikan bersama dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, Pos Lebir.

Mereka ialah Meknab Tebu, 63, Jais Keladi, 55, Romi Hamdan, 29, Leha Hamdan, 26, Haika Rahim, 22, Poja Jong, 21, Farah Rahim, 20, Fayah Papan, 20, Safia Papan, 18, Din Hamdan, 18, Puspa Lie, 5, Nasri Rosli, 3, Mohd. Saleh Khaizan, 1, Amir Lie, 1, dan Jelik Jong yang usia tak dikenal pasti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini