SHAH ALAM – PKR perlu mengambil tindakan lebih serius ke atas Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong telah melakukan kesalahan jenayah dan ia diakui pula secara terbuka oleh lelaki tersebut.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang menjadi pemimpin PKR terbaharu mengkritik keputusan Lembaga Disiplin berkata, beliau menghormati pandangan parti tetapi secara peribadi beranggapan, PKR perlu lebih tegas dalam isu berkenaan.
“Dia lakukan jenayah, pandangan peribadi saya, apabila perkara seperti ini sudah berlaku dan dia mengaku, jadi parti kena serius dalam mengambil tindakan.
“Saya hormat proses parti, tetapi dia terbabit dalam jenayah secara terbuka, parti mungkin ada alasan tersendiri tetapi pada saya bila dia sendiri dah mengaku kena ambil tindakan lebih tegas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Lembaga Disiplin PKR sebelum ini hanya memberikan surat tunjuk sebab kepada Haziq Abdullah yang. mengaku individu yang melakukan hubungan seks sejenis dengan lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, selepas video tersebut tular baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin ketika ditanya mengenai pegawai khasnya, Saifuddin Shafi Muhammad yang didakwa sebagai pengendali twitter PecatFaekah, yang digunakan untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pegawainya itu berhak membela diri dan laporan polis juga sudah dibuat Saifuddin Shafi.
“Ini dakwaan politik macam-macam, biar polis siasat dan beliau sendiri berhak mempertahankan diri temasuk mengambil tindakan terhdap mereka yang membuat dakwaan tidak wajar.
“Tapi kalau dia terlibat, say perlu lihat kembali tetapi pada kedudukan itu, seseorang itu tidak bersalah selagi mana tidak dibuktikan bersalah. Maknanya pada kedudukan seperti itu, dia telah melaporkan kepada polis kerana dia dituduh secara liar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











