KUALA TERENGGANU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar UMNO dan Pas untuk menyerahkan lima kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di samping Exco di negeri dikuasai masing-masing bagi membuktikan yang keikhlasan kerjasama kedua-dua parti pembangkang itu bukan retorik atau senda politik semata-mata.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, kegagalan melaksanakan tanggungjawab itu menjadi bukti yang UMNO-Pas hanya bersandiwara kepada penyokong dan seluruh rakyat Malaysia dengan permainan politik mereka bahkan, bukan berusaha murni ke arah ta’awun seperti yang dijanjikan.
Beliau yang merupakan bekas ADUN Bandar berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat memandangkan cadangan kerjasama pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) antara UMNO-Pas yang kini telah sampai ke kemuncaknya dengan persetujuan di peringkat tertinggi melalui kepemimpinan dan muktamar di samping mesyuarat agung.
“Maka saya mencabar kedua-dua pimpinan UMNO-Pas melaksanakan tindakan segera iaitu:
“Pahang dan Perlis yang masing-masing mempunyai 10 dan lapan jawatan Exco kerajaan negeri, maka UMNO/Barisan Nasional (BN) haruslah melantik dua ADUN Pas di Pahang manakala tiga (Perlis) sesuai dengan penguasaan kerusi DUN sebanyak tujuh daripada 42 DUN (Pahang) dan dua daripada 15 DUN (Perlis).
“Bagi Kelantan dan Terengganu yang mempunyai 10 jawatan Exco Kerajaan Negeri, Pas mestilah mencerminkan kerjasama yang sama untuk melantik dua ADUN UMNO/BN manakala di Terengganu, Pas perlu menyerahkan tiga jawatan Exco kepada rakannya itu,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Besar PKR Terengganu di Bukit Besar hari ini.
Menurut Azan, kerjasama yang bakal diterjemahkan UMNO-Pas akan nampak lebih adil dengan penyerahan lima kerusi Exco dan ADUN itu kerana ia merupakan satu-satunya bukti yang ditunggu-tunggu oleh rakyat terutama pengundi di keempat-empat negeri tersebut.
“Ia amatlah seimbang sebagai terjemahan kerjasama serius peringkat pertama pentadbiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











