KUANTAN – Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI) kelolaan Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) diperluas ke Sabah selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada warga asing.

Pengarah (Pengurusan) PKKI Peka, Simon Ee Yoong Pin berkata, khidmat Peka menerusi program berkenaan yang sebelum ini hanya dilaksanakan di Semenanjung mendapat maklum balas positif daripada pesertanya.
“Apa yang menjadi perhatian ialah kelebihan-kelebihan yang ditawarkan selepas mereka (warga asing) sah menjadi peserta.
“Peka sentiasa mengalu-alukan warga asing sama ada yang telah lama berada di negara ini atau yang baharu menjejakkan kaki ke sini untuk berdaftar di bawah program ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Simon berkata, Peka berharap semua pekerja asing tidak melepaskan peluang menyertai PKKI sebagai alternatif mendapatkan faedah dari aspek kebajikan dan kemudahan lain serta mengelakkan daripada ditipu sindiket.
“Peka juga menyediakan khidmat pengurusan dokumentasi bagi membantu keperluan mereka termasuk mendapatkan lesen memandu kenderaan pada yang layak,” katanya.
Jelasnya, warga asing yang berminat untuk menyertai program berkenaan boleh menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menerusi talian 010-2119299 atau 010-2990909. – UTUSAN ONLINE











