NICE, Perancis – Jaringan hatrik Cristiane membantu Brazil bermula dengan langkah kanan apabila menundukkan Jamaica 3-0 pada aksi pembukaan Kumpulan C bola sepak Piala Dunia wanita di sini awal hari ini.
Kelibat cemerlang pemain berusia 34 tahun itu jelas berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang sensasi negara itu, Marta yang tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut kerana masih belum pulih daripada kecederaan paha.
Cristiane terbukti mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberikan kepadanya itu dengan membalasnya menerusi kemampuan meledakkan jaringan pada minit ke-15, 50 dan 64.
“Bahagian serangan kami adalah nadi yang cukup memuaskan hati terutama sekali Cristiane yang diberi kepercayaan tinggi oleh kakitangan kejurulatihan kami walaupun masih cedera,” kata jurulatih Brazil, Vadao sambil turut mengharapkan Marta dapat diturunkan dalam perlawanan berikutanya menentang Australia.
Sementara dalam satu lagi aksi kumpulan sama, Itali turut mencatat kemenangan ke atas Australia hasil jaringan emas menerusi tandukan di masa kecederaan oleh Barbara Bonansea ketika perlawanan seakan berkesudahan seri 1-1.
Ini membolehkan Itali menang 2-1 pada aksi pertama mereka dalam tempoh 20 tahun selepas tidak pernah layak sebelum ini. Terdahulu Bonansea turut menjaringkan gol penyamaan Itali untuk menafikan gol pendahuluan Australia yang dijaringkan Sam Kerr.
“Terasa hebat kerana bukan sahaja dapat menjaringkan gol tetapi dengan tandukan pula yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini,” kata Bonansea yang akan mengetuai Itali menentang Jamaica selepas ini.
England turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Scotland dalam aksi pembukaan Kumpulan D , terima kasih kepada jaringan penalti Nikita Parris pada minit ke-14 dan Ellen Toni White pada minit ke-40.
Skuad bimbingan Phil Neville ini yang diletakkan sebagai antara pasukan pilihan pada kempen kali ini bagaimanapun cemas seketika apabila Scotland merapatkan kedudukan menerusi jaringan Claire Emslie pada minit ke-79 namun terselamat untuk mengekalkan kedudukan itu sehingga tamat perlawanan.
England akan menentang bekas juara dunia, Jepun selepas ini manakala Scotland akan menentang Argentina. – AFP











