Piala Dunia Wanita: Argentina hampakan Jepun - Utusan Malaysia

Piala Dunia Wanita: Argentina hampakan Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Argentina terpaksa bertahan habis-habisan sebelum berjaya mengikat juara 2011 dan naib juara 2015, Jepun tanpa jaringan dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia Wanita di sini awal hari ini.

Berdepan pasukan yang dianggap pilihan pada edisi kali ini, Argentina ternyata lega kerana berjaya mencuri satu mata berharga dan bersejarah daripada perlawanan berat sebelah yang lebih banyak dikuasai Jepun itu.

Bersejarah kerana ia merupakan mata pertama berjaya diraih Argentina sepanjang penyertaan ketujuh mereka di pusingan akhir kejohanan ini. Malah keputusan seri tanpa jaringan tersebut adalah yang pertama di sini dan ketujuh dalam sejarah kejohanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mata yang diraih ini amat penting buat kami. Jadi semua pasukan sekarang tahu apa yang boleh kami lakukan. Ia amat bermakna sebagai satu pasukan,” kata ketua pasukan Argentina, Estefania Banini.

Jepun pula akur untuk menyalahkan diri sendiri kerana gagal menembusi gawang Argentina walaupun memperoleh beberapa peluang terbuka untuk menjaringkan gol dalam aksi pertama peringkat kumpulan itu.

“Kami ternyata belum cukup bagus untuk memecah benteng Argentina hari ini,” kata jurulatih Jepun, Asako Takakura selepas menyaksikan anak buahnya kini ketinggalan kepada England yang muncul pendahulu kumpulan hasil kemenangan ke atas Scotland semalam.

Paling mengecewakan Jepun apabila menyaksikan pemain simpanan Argentina di tepi padang melompat kegembiraan seakan seperti muncul juara sebaik wisel penamat dibunyikan sedangkan ia hanya keputusan seri sahaja.

Sementara itu dalam perlawanan pertama Kumpulan E, Cameroon gagal mengikut jejak Argentina walaupun bermain secara bertahan apabila tewas 0-1 kepada Kanada yang lebih banyak menyerang.

Gol kemenangan Kanada hadir lewat babak pertama hasil jaringan pemain pertahanan, Kadeisha Buchanan yang menanduk bola yang berpunca daripada sepakan sudut. Ini merupakan gol keempat Buchanan di peringkat antarabangsa.

Kanada kini mengungguli Kumpulan E sementara menunggu satu lagi aksi membabitkan Belanda dan New Zealand. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini