Peserta kecewa terpaksa berlari dalam hujan lebat - Utusan Malaysia

Peserta kecewa terpaksa berlari dalam hujan lebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Kira-kira 200 peserta Program Fun Run Dream Girls yang dianjurkan di Dataran Sejarah, Ayer Keroh di sini kecewa selepas terpaksa berlari dalam keadaan cuaca hujan lebat apabila pihak penganjur tidak menundakan program itu.

Difahamkan peserta dewasa dan kanak-kanak mula berlari pada pukul 7.30 pagi untuk larian kategori 2.5 dan 5 kilometer selain perlu melalui dua ‘check point’ untuk melengkapkan larian.

Program siri Tropical Run kerjasama antara Pertubuhan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (ASHYM) dengan WDR Shoppe itu malah didakwa cuba memberi “gula-gula” kepada peserta dengan jaminan untuk mengadakan program larian akan datang secara percuma kepada peserta terlibat. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Salah seorang peserta yang hanya ingin dikenali sebagai Ain, 25, berkata, dia bersama tiga rakan yang lain mula berlari dalam keadaan cuaca gerimis dan tidak dapat melengkapkan check point apabila hujan semakin lebat. 

“Kami sangat kecewa dengan pihak penganjur kerana tetap meneruskan program walaupun hujan lebat, malah meminta bukti dari check point yang disediakan.

“Bagaimana kami boleh melengkapkan larian dalam keadaan hujan lebat? Bagaimana dengan kesihatan kami?,” katanya ketika ditemui dalam keadaan basah kuyup di Dataran Sejarah di sini hari ini. 

Katanya, bayaran pendaftaran sebanyak RM55 untuk larian 5 kilometer itu juga sama sekali tidak berbaloi kerana baju rasmi program gagal diberikan kepada peserta.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Aishah, 38, berkata, pelari yang dapat menghabiskan larian juga terpaksa beratur dalam hujan untuk mengambil medal dan makanan. 

“Sepatutnya mereka mempunyai rancangan sokongan sekiranya cuaca tidak mengizinkan seperti menyediakan khemah yang secukupnya untuk para peserta berteduh. Kasihanlah kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, segelintir peserta yang menghabiskan larian juga dilihat belum memperolehi medal ekoran cenderahati itu tidak mencukupi.

Memetik satu entri yang dimuat naik salah seorang peserta, Mazellah Jonet di laman Facebook miliknya, dia tetap meneruskan larian walaupun hujan. 

“Run after raya…1st time lari dalam hujan tapi lari tetap kena diteruskan…lebat lak tuh!! Demam belum baik lagii nie…Harap lps mkn ubat takde laa menambah sakit,” tulis Mazellah. 

Sementara itu, seorang lagi peserta yang dikenali sebagai Asniza Abd Rahim, berkongsi video tentang program larian tersebut menerusi Insta Stories (IGS) Instagram miliknya.

“Dream girls tak berapa nak dream,” tulis Asniza ringkas di video IGS miliknya.

Dalam pada itu, salah seorang urusetia program memberitahu, larian itu terpaksa diteruskan kerana pihaknya perlu menguruskan pengeposan kit sukan peserta secepat mungkin. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini