Persatuan teksi, limo bantah perhimpunan GTSM - Utusan Malaysia

Persatuan teksi, limo bantah perhimpunan GTSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Persatuan teksi dan pemandu kereta limo membantah tindakan Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) mahu mengadakan demonstrasi bagi mendesak kerajaan menyelesaikan isu teksi dengan syarikat e-hailing, Grab.

Rata-rata mereka menyifatkan, perhimpunan yang dikenali sebagai Perhimpunan Reformasi 2.0 dan akan diadakan pada Rabu ini di Putrajaya adalah tidak sesuai selain bukan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Menurut Pengerusi Persatuan Teksim Lembah Klang, Yuezaimi Yusof, GTSM tidak mewakili pihaknya berkaitan isu teksi dengan syarikat e-hailing apatah lagi merancang untuk mengadakan perhimpunan seumpama itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebaliknya kita yakin dan memberi masa kepada kerajaan untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini. Kami difahamkan kerajaan menetapkan tempoh sehingga 12 Julai untuk meneliti permasalahan yang dihadapi oleh warga pemandu teksi.

“Jadi, berilah peluang kepada kerajaan mencari jalan dan dalam masa yang sama pihak persatuan pula sepatutnya memberi input serta mengadakan perbincangan dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yuezaimi berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan GTSM yang mahu mengadakan Perhimpunan Reformasi 2.0 sebagai tidak berpuas hati terhadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang didakwa enggan mengadakan rundingan dengan pihak GTSM bagi menyelesaikan isu teksi dengan syarikat e-hailing.

Pandangan yang sama turut dibangkitkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pemandu Limousin dan Teksi KLIA, Abdul Jabbar S. Ghulam Dustageer yang menegaskan perhimpunan yang dirancang oleh GTSM itu tidak mewakili pihaknya.

Tegasnya, perhimpunan tersebut jika diteruskan hanya akan memberi kesan negatif kepada imej pemandu teksi serta mewujudkan lagi ketidakyakinan pengguna terhadap perkhidmatan itu.

“Saya fikir para pengguna tidak akan ambil peduli sama ada perhimpunan itu diadakan atau tidak. Pengguna ada pilihan lain untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya Grab, yang ruginya siapa nanti.

Terdahulu, Yuezaimi dan Abdul Jabbar mengadakan kunjungan hormat bagi membincangkan isu teksi dengan syarikat e-hailing bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya; Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, Datuk Mohamad Dahlan Md. Maamor serta Pengarah Bahagian Bas Expres dan Terminal, Zaid Sabit. – K! ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini