Persatuan Perlis KL tumpaskan Pilihan Veteran Perlis - Utusan Malaysia

Persatuan Perlis KL tumpaskan Pilihan Veteran Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU – Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) menundukkan pasukan ‘Pilihan Veteran Perlis’ dalam perlawanan bola sepak ‘Bola Raya 2019’ dengan keputusan 7-3 pada malam semalam.

Perlawanan tahunan dianjurkan sejak tahun 1993 lagi sempena Hari Raya Aidilfitri oleh Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) pada kali ini sekali lagi dilangsungkan di Stadium Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra UiTM Cawangan Perlis di Arau.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian piala dan juga medal iringan kepada kedua-dua pasukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh kepimpinan PPKL terdiri daripada Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman (Yang DiPertua), Datuk Azmi Talib (Timbalan Yang Dipertua) dan Anuar Zaki Bakar (Setiausaha).

Yang turut hadir ialah Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Zailuddin Ariffin.

Di akhir perlawanan, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang merupakan pencetus idea dan inisiatif penganjuran perlawanan ini 26 tahun yang lalu ketika baginda turut terlibat secara aktif di ibu negara sebagai ahli jawatankuasa PPKL pada ketika itu menitahkan bahawa perlawanan ini yang diadakan saban tahun bertujuan bagi terus merapatkan lagi silaturrahim dengan semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak Perlis diperantauan yang pulang berhari raya Aidilfitri di Perlis.

Gol-gol bagi pasukan PPKL dijaringkan oleh Yusri Che Lah (3), Norzaman Othman, Yuzaidi Rejab, Raja Aiman Ariff Raja Azwane dan Roslee Md Derus. Sementara itu, Roslin Abd Rahman, Sobri Johar dan Suhairi Karim pula membalas bagi pihak pasukan Pilihan Veteran Perlis. Pada perlawanan tahun lepas, pasukan Pilihan Veteran Perlis menang 3-1.

Bagi anak-anak Perlis yang kini bermastautin di Lembah Kelang adalah diajak beramai-ramai menyertai sebagai ahli Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dan bolehlah menghubungi nombor telefon 03-42570726 / 013-3607868 atau emel [email protected]. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini