Persampelan air secara berkala - Utusan Malaysia

Persampelan air secara berkala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Lapan kali eksesais sampel air akan dijalankan di perkampungan Orang Asli Kuala Koh, Pos Lebir di sini bagi mendapatkan keputusan tepat sama ada sumber air itu tercemar atau tidak.

Pengarah Bahagian Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat berkata, beberapa jabatan kerajaan meneruskan eksesais mengambil sampel dari empat sumber air selepas berlaku 15 kematian penduduk sejak lebih sebulan lalu.

Katanya, ini merupakan kali ketiga eksesais dilakukan dan pihaknya memfokuskan kepada dakwaan pencemaran air seperti yang dikatakan penduduk Orang Asli.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Agensi-agensi lain banyak membantu dalam proses ini dan kita amat berpuas hati dengan kesungguhan mereka bagi memastikan penduduk Orang Asli Kuala Koh mendapat bekalan air bersih.

“Lima lagi proses persampelan ini dijangka selesai pada pertengahan Julai nanti. Keputusan konklusif daripada semua sampel itu akan siap seawal penghujung bulan Julai,” katanya kepada pemberita selepas proses pengambilan sampel berkenaan di sini hari ini.

Sebelum itu, Azizan sempat melihat sendiri kawasan tadahan air bukit atau air tandak berhampiran Kampung Kuala Koh yang disalurkan ke perkampungan terbabit.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kimia, Mohd. Zaini Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kelantan, Che Abdul Rahman Jaafar; Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Mohamad Rafiq Mohd. Kasri dan Presiden Sahabat Jariah Malaysia, Johan Halid.

Agensi-agensi yang terlibat termasuk pihak media mengambil masa selama 40 minit berjalan kaki ke lokasi air tandak berkenaan dengan dipandu arah oleh Tok Batin Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok.

Pengarah Bahagian Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat (kanan) semasa sidang akhbar selepas mengetuai pelbagai agengi melakukan pemeriksaan  air di perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq, di Kuala koh, Gua Musang hari ini.

Azizan berkata, pihaknya mendapati punca air tersebut terletak sejauh dua buah bukit dari sebuah kawasan perlombongan mangan seperti yang didakwa menjadi punca pencemaran.

“Ada perlombongan di kawasan berhampiran dan kita perlu melalui dua buah bukit baru sampai ke sini. Saya belum mahu buat spekulasi namun ia bergantung kepada keputusan yang dikeluarkan daripada Jabatan Kimia.

“Lapan eksesais pengambilan ini dilakukan bagi mendapat keputusan bergantung kepada cuaca semasa sama ada semasa hujan atau panas. Hari ini sampel diambil dari empat sumber air iaitu air tandak, air sungai, air sambungan dan air telaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini