KUALA LUMPUR – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) akan menganjurkan perhimpunan jentera Volkswagen Beetle dalam An Iconic Gathering di ruang parkir terbuka Istana Kehakiman, Putrajaya pada 13 Julai ini.
Orang ramai dan pemilik jentera klasik itu dijemput memeriahkan acara yang julung kali diadakan itu dalam usaha memecahkan rekod perhimpunan terbesar model kereta berkenaan.
Perhimpunan yang dijangka disertai oleh 100 buah Beetle itu akan dimulakan dengan konvoi Beetle Sunshine Tour di Kuala Lumpur sebelum dilepaskan menuju ke Istana Kehakiman.
Mereka yang berminat untuk menyertai program ini boleh mendaftar di laman web Volkswagen https://bit.ly/2X2poH7
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, perhimpunan itu merupakan simbolik ucapan selamat tinggal kepada model terlaris itu ekoran pengumuman Volkswagen yang akan menamatkan pengeluaran produksi Beetle.
“Ini adalah peluang terbaik untuk peminat melihat sendiri model-model jentera klasik dan terkini Beetle dalam pelbagai penampilan,” katanya -UTUSAN ONLINE.











