PULAU PINANG – Pemilik Lost Paradise Resort di Tanjung Bunga di sini menyedari berlaku pergerakan tanah di kawasan tebing Jalan Batu Feringghi yang terletak berhampiran kawasan berkenaan sejak seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Che Zaimani Che Awang berkata, pemilik resort itu kemudiannya mengambil inisiatif membaiki tembok penahan tanah (retaining wall) sendiri selepas menyedari berlaku pergerakan tanah dengan menggajikan empat pekerja warga Myanmar.
“Tebing jalan ini cukup curam, pemilik menyedari bahawa tanah mula runtuh sedikit demi sedikit.
“Jadi dia mulakan usaha untuk membina tembok penahan tanah dan kerja berkenaan dijalankan oleh empat pekerja warga Myanmar berkenaan seminggu lalu sebelum kejadian tanah runtuh ini berlaku,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 malam itu, empat pekerja warga Myanmar maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Feringghi.
Setakat pukul 12.30 tengah malam ini, tiga mayat mangsa telah dijumpai dan usaha mencari seorang lagi mangsa sedang dijalankan.
Menurut beliau pembinaan tembok penahan tanah setinggi 2.4 meter itu tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa memandangkan lokasi ini adalah tanah persendirian.
Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, kejadian tanah runtuh itu disedari berlaku oleh seorang tukang kebun resort berkenaan yang mendengar bunyi runtuhan tanah di lokasi pembinaan tebing berkenaan.
“Tukang kebun tersebut kemudiannya memaklumkan kejadian kepada pemilik resort,” katanya. – UTUSAN ONLINE











