Percepatkan pembinaan rumah Peduli Rakyat - Utusan Malaysia

Percepatkan pembinaan rumah Peduli Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Kerajaan negeri bersetuju untuk mempercepatkan pembinaan projek Rumah Peduli Rakyat kepada penduduk negeri ini yang berkelayakan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sewajarnya.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Lembaga Perumahan Negeri Melaka telah menyediakan peruntukan berjumlah RM3 juta untuk pembinaan sejumlah 84 Rumah Peduli pada tahun ini.

Katanya, bagi usaha itu, kerajaan negeri bersetuju supaya proses tersebut disegerakan dengan penglibatan Exco kerajaan negeri, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Pejabat Daerah dan Tanah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi fasa pertama, sembilan penerima Rumah Peduli dari DUN Merlimau, Bukit Katil, Bemban, Durian Tunggal, Rembia, Gadek, Machap, Paya Rumput dan Telok Mas telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri membabitkan kos keseluruhan RM291,000.

“Setiap 28 DUN menerima satu unit Rumah Peduli tiga bilik (28 buah) dan dua unit Rumah Peduli dua bilik (56 buah),” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di sini hari ini.

Projek Rumah Peduli pertama di Melaka yang dibina di Lipat Kajang, Jasin iaitu dalam DUN Merlimau telah dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 Jun lalu.

Sementara itu, Adly berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah melaksanakan kerja-kerja landskap di semua pintu masuk negeri ini khususnya di kawasan bawah jejambat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh.

Menurut beliau, langkah ini diambil bagi mengindahkan pintu-pintu masuk ke negeri ini selaras dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2019.

“Bagaimanapun kaedah penanaman pokok di dalam pasu perlu diperhalusi kerana didapati kurang bersesuaian dan ia boleh mengubah landskap sedia ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini