“DUNG! Bunyi seakan-akan hentaman gong yang kuat kami dengari sebelum merasai gegarannya. Selepas itu, kami terdengar bunyi jatuhan batuan yang banyak daripada gunung.” Itu kata Hariri Rainin, seorang malim gunung dari Kampung Dumpiring Atas ketika ditemubual oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Rabieahtul Abu Bakar.
Seramai 18 orang terkorban manakala 137 tercedera ditimpa jatuhan bongkah batuan di Gunung Kinabalu sewaktu bencana gempa bumi pada 5 Jun 2015. Gempa bumi berskala besar (magnitud 6.0) berlaku pada 7.15 pagi dengan pusat gempa direkodkan di kaki Gunung Kinabalu. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) amat mencabar. Rata-rata pasukan SAR tidak mengetahui medan magnet atau graviti di sekitar lokasi pergunungan tempat operasi yang telah menjejaskan beberapa misi tinjauan pesawat udara. Gegaran yang kuat telah melemahkan struktur batuan, lalu menghasilkan bencana susulan seperti jatuhan bongkah batuan, tanah runtuh dan aliran serpihan di Sungai Mesilau dan Sungai Kedamaian.
Tanah runtuh yang berlaku di bahagian Sungai Mesilau telah menghalang laluan sungai untuk terus mengalir lalu membentuk empangan semula jadi. Hujan berlarutan mencetuskan kejadian aliran serpihan dan menghasilkan bencana yang merosakkan banyak infrastruktur dan aset.
Kumpulan Penyelidik Geo-Bencana UTM (UTM Geohazard) telah menjalankan penyelidikan risiko bencana berimpak tinggi sejak 2014 melibatkan gabungan kepakaran pelbagai bidang dan pemegang taruh tempatan serta luar negara. Antara program yang dilaksanakan berteraskan kepada pelan tindakan komuniti dalam pengurangan risiko bencana (DRR) berasaskan masyarakat yang seiring dengan Keutamaan Pertama dalam Rangka Kerja Sendai, Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 bagi memahami risiko bencana setempat. Penglibatan semua pemegang taruh termasuk komuniti setempat amat penting dalam merangka pelan tindakan pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti.
Pelaksanaan program diadakan selaras dengan sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang disambut pada Oktober setiap tahun, selain sempena Hari Pengurangan Risiko Bencana Sedunia pada 13 Oktober setiap tahun. Antara lain, hasil kajian awal mendapati secara keseluruhan, kawasan Kundasang-Ranau memperoleh indeks berdaya tahan bencana dengan skor 3.40, merujuk status yang memuaskan. Kajian ini meliputi lima komponen utama iaitu fizikal, sosial, ekonomi, institusi dan alam sekitar. Program komuniti anjuran UTM Geohazard turut menerima penarafan lima bintang untuk Anugerah Perkhidmatan Komuniti Berimpak Tinggi daripada Pusat Rangkaian Komuniti dan Industri-KPT 2016.
Sektor pelancongan turut terjejas daripada gempa bumi ini. Kerosakan infrastruktur, bangunan dan tempat pelancongan menyukarkan aktiviti ekonomi setempat. Mereka juga mempunyai masalah dengan bekalan air bersih akibat kerosakan loji dan serpihan serta lumpur yang mengalir ke sungai menjejaskan sektor pelancongan berasakan sistem Tagal.
UTM Geohazard menyarankan kepentingan dan keperluan pelan kesinambungan perniagaan dan pengurusan data geospatial yang komprehensif bagi mengekalkan maklumat risiko bencana pada masa depan serta pembangunan dan pelaburan untuk kawasan Kundasang sebagai tempat tarikan pelancong. Perancangan guna tanah pada masa hadapan perlu mengambil kira maklumat risiko bencana setempat. Bertepatan dengan usaha kerajaan negeri seperti Sabah LEAP 2016-2035 bagi memastikan pelancongan hijau dan pengurusan taman semula jadi Sabah yang mapan, maklumat berkenaan risiko bencana di kawasan ini perlu dinilai secara saintifik dan disebar luas bagi menggalakkan pembangunan dan pelaburan berasaskan risiko bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara telah membuat perutusan penting mewakili Malaysia di Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) 2019 di Geneva dengan tema Dividen Daya Tahan: Ke Arah Masyarakat Yang Mampan dan Inklusif. Di sana, beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk mematuhi SFDRR dan pelaporannya. Beliau juga menekankan peranan sains dan teknologi dalam membantu sebarang proses membuat keputusan polisi berpandukan maklumat risiko. Malaysia juga telah mengeluarkan garis panduan perancangan pembangunan menjadikan bandar-bandar berdaya tahan bencana.
Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik menunjukkan zon-zon yang dijangka mengalami kesan atau bahaya mengikut intensiti gempa bumi yang berlaku. Maklumat yang terkandung dalam peta bahaya seismik tersebut perlu digunapakai dalam rekabentuk bangunan atau struktur di zon-zon berkenaan supaya ia berdaya tahan terhadap sebarang kesan gempa bumi. Selain itu, pelbagai kempen kesedaran dan latih amal mengenai gempa bumi dijalankan yang diterajui oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama pihak pemegang taruh lain.
UTM Geohazard akan terus komited untuk menyokong usaha dan inisiatif kerajaan di pelbagai peringkat dalam memajukan penggunaan sains, teknologi dan inovasi ke arah pengurangan risiko bencana seiring Kerangka Sendai SFDRR 2030 dalam memahami risiko bencana, mengukuhkan tadbir urus, melabur dalam pengurangan risiko bencana ke arah daya tahan dan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti.
DR. KHAMARRUL AZAHARI RAZAK ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Razak dalam Teknologi dan Informatik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).











