IPOH – Kerajaan negeri akan berbincang dengan kerajaan Thailand berhubung isu penggunaan ruang udara ekoran pembinaan Lapangan Terbang Betong di selatan Thailand.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu telah dibawa kepada Wisma Putra memandangkan ia melibatkan isu keselamatan kawasan sempadan negara.
Menurutnya, pesawat yang menggunakan lapangan terbang baharu itu yang dijangka beroperasi pada tahun 2021, akan melalui ruang udara di utara Perak yang terletak bersempadan dengan Pengkalan Hulu.
“Penggunaan ruang udara akan dibincangkan secara terperinci dengan kerajaan Thailand dan antara perkara yang akan dibincangkan ialah mengenai keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga akan merancang pembangunan di kawasan berhampiran sempadan di utara Perak.
Menurutnya, ini bertujuan memanfaatkan kesan kemajuan ekoran pembinaan lapangan terbang di Betong.
“Kita perlu fikirkan apakah industri yang sesuai berhampiran sempadan Malaysia-Thailand,” katanya. – UTUSAN ONLINE











