Perak ‘tekan minyak’ untuk menang - Utusan Malaysia

Perak ‘tekan minyak’ untuk menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN – Skuad Perak memberikan sepenuh komitmen di atas padang untuk meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Felda United pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Jurulatihnya, Mehmet Durakovic berkata, usaha keras itu jelas terpapar dengan tiga jaringan yang dihasilkan pasukan bimbingannya yang disifatkan beraksi dengan baik sehingga menguasai permainan.

“Pasukan kami juga banyak mencipta gerakan dan peluang yang menarik ke atas pihak lawan sepanjang perlawanan yang membolehkan kami menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perak memperoleh gol pertama pada minit ke-22 menerusi pemain import Ronaldo Henrique Silva diikuti gol kedua oleh K. Partiban (minit ke-33) dan Raianderson Da Costa (minit ke-53). Dua gol Felda United pula dijaringkan Muhammad Hadin Azman (minit ke-80) dan Kei Ikeda (minit ke-82).

Durakovic bagaimanapun mengakui dua gol pasukan lawan pada hujung perlawanan adalah akibat kelekaan pertahanan The Bos Gaurus.

“Ia sesuatu yang mendebarkan apabila pasukan lawan kembali merapatkan jurang pada saat-saat akhir tapi syukur kami berjaya mengekalkan kemenangan ini untuk mendapatkan tiga mata yang sekali gus memperbaiki kedudukan dalam liga,” katanya.

Sementara itu, pengendali Felda United Mohd Nidzam Jamil berkata sukar bagi pasukannya menerima kekalahan memandangkan mereka amat memerlukan mata untuk kekal dalam Liga Super pada musim hadapan.

“Bagaimanapun, saya sedar pemain sudah melakukan yang terbaik untuk menang dan terus berjuang. Mereka tidak mengalah walaupun ketinggalan dan berusaha mengejar Perak yang mendahului jaringan.

“Saya berharap pemain tidak berputus asa dengan keputusan malam ini dan berusaha bangkit pada perlawanan seterusnya,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini