IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penolong jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah dan seorang kontraktor setelah dipercayai membuat tuntutan palsu melalui empat sebut harga bagi baik pulih tebing sungai berjumlah RM720,000, tahun lalu.
Perintah tahanan reman selama enam hari bermula hari ini ke atas penolong jurutera berusia 58 tahun dan kontraktor berusia 57 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Hafizah Mohammad Fauzi di Mahkamah Majistret di sini.
Terdahulu, kedua-dua lelaki yang menaiki kenderaan berasingan itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ipoh pada pukul 11.30 pagi.
Dua lelaki terbabit ditahan antara pukul 7.20 petang hingga 8.20 malam di pejabat SPRM Perak semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Difahamkan, kedua-dua mereka terlibat dengan tuntutan yang mengandungi butiran kandungan palsu bagi kerja-kerja baik pulih sungai oleh JPS Daerah Perak Tengah membabitkan empat sebut harga berjumlah hampir RM720,000, tahun lalu.
Bagaimanapun menurut sumber, tiada sebarang kerja-kerja fizikal bagi baik pulih tebing sungai dijalankan sehingga ke hari ini walaupun bayaran penuh kerja telah dibuat dan diterima pihak kontraktor yang dikatakan kroni kepada pegawai dan kakitangan JPS Perak Tengah.
“Kedua-dua lelaki itu bersama dua lelaki lain yang turut ditahan, disyaki telah berpakat dengan kontraktor untuk membuat tuntutan palsu.
“Bagaimanapun, dua lelaki yang merupakan pegawai kanan JPS berusia 47 tahun dan seorang penolong jurutera berumur 49 tahun telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan dua lelaki itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan. – UTUSAN ONLINE











