KUALA LUMPUR – Seorang wanita dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri barangan keperluan dan minuman keras di sebuah pasar raya di sini Rabu minggu lalu.
Tertuduh, Lim Sook Peng, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rahni Kartini Abd. Halim.
Mahkamah turut memerintahkan penjara tiga bulan terhadap tertuduh jika denda berkenaan gagal dibayar.
Mengikut pertuduhan, wanita tersebut bersama seorang individu yang masih bebas telah mencuri sehelai tuala jenis Niki Cain, satu paket susu Dugro 5 Coklat seberat 900 gram, sebotol pencuci pinggan mangkuk jenama Joy 800 mililiter serta tiga karton minuman keras jenama Tiger 320 mililiter milik Aeon Co. (M) Bhd.
Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di Pasar Raya Aeon Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail di sini pada pukul 8.15 malam, 5 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syakirin Yaccob dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. – UTUSAN ONLINE











