KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dipercayai mempunyai kes lampau dan dikehendaki polis ditahan pihak berkuasa disyaki menjual dadah jenis ganja dan pil eramin 5 pada Khamis lepas.
Bertindak atas risikan maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi memberkas suspek yang berusia 33 tahun terbabit di Kampung Baru pada pukul 11.15 malam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, suspek dipercayai bergiat aktif sejak 2014.
“Hasil dari pemeriksaan polis berjaya merampas tujuh ketulan besar mampat dan empat ketulan kecil disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat sembilan kilogram serta 3000 biji pil eramin 5, seberat 870 gram.
“Turut dirampas wang tunai sebanyak RM1,500. Kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM 67,500,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Fahmi, suspek didapati positif dadah jenis Benzo (eramin 5) dan amphetamine hasil ujian air kencing mempunyai kes jenayah lampau di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan tanpa guna senjata.
“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula 21 sehingga 27 Jun ini dan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa kepada hukuman gantung sampai mati,” ujarnya. – K! ONLINE











