ALOR SETAR – Seorang pengusaha premis kitar semula plastik dihukum penjara sehari dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi rasuah sebanyak RM10,000 kepada pegawai imigresen pada Januari lalu.
Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hong Bak Chai, 61, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan Bak Chai dipenjara setahun jika gagal membayar jumlah denda dikenakan.
Tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, warga emas terbabit didakwa memberikan suapan sebanyak RM10,000 kepada pegawai imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, Rozli Had sebagai dorongan untuk tidak menahan empat pekerja warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di syarikat Heng Tong Sdn. Bhd. dalam daerah Kuala Muda dekat sini kira-kira pukul 1.22 petang, 15 Januari lalu.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping sementara tertuduh diwakili peguam, Ang Chun Pun. – K! ONLINE











