KUALA LUMPUR – Beberapa anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang disyaki terlibat dalam kes meminta suapan di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya, Selangor diarah berhenti menjalankan tugas di luar pejabat. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, siasatan dalaman sedang dijalankan terhadap anggota penguat kuasa terbabit.
“Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelakuan rasuah, penyelewengan dan penyalah gunaan kuasa di pentadbiran negeri ini. “Kami mengalu-alukan penglibatan SPRM untuk menyiasat kes tersebut dan MBPJ sudah diarah untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pengusaha perniagaan di sebuah pusat beli-belah yang membuat laporan ada pegawai penguat kuasa meminta rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap mereka. Laporan itu dibuat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini oleh salah seorang pengusaha perniagaan yang mewakili tiga peniaga lain. Sebuah video tular di media sosial hari ini yang memperlihatkan pegawai penguat kuasa MBPJ menerima wang dari sebuah kedai di pusat beli-belah itu dalam satu kejadian yang dipercayai berlaku seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Dalam klip video selama 15 saat itu, juruwang kedai itu dilihat menyerahkan wang yang dibungkus dengan sekeping kertas putih kepada anggota pihak berkuasa berkenaan.
Sementara itu, MBPJ ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung kejadian itu pada esok. – UTUSAN ONLNE











