GURUN – Seorang penganggur berdepan hukuman gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak tirinya dalam kejadian di Guar Chempedak, Yan, Selasa lalu.
Tertuduh, Mohammad Sofiyudin Abu Bakar, 28, sekadar tunduk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Sofiyudin membunuh Muhammad Aqil Hairi Mohd. Azrul Epindi di sebuah rumah di Batu 19 3/4, Jalan Yan-Guar Chempedak, Yan, dekat sini antara pukul 7.30 malam hingga 8 malam, 25 Mei lalu.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Waheda Abd. Rahman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 5 Ogos depan sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Tertuduh yang sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 27 Mei lalu tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan kenderaan polis dan dalam keadaan tangan bergari.
Sementara itu, isteri tertuduh yang juga ibu kandung kanak-kanak terbabit dibebaskan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.
Wanita yang berusia 23 tahun itu sebelum ini turut direman bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.
Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut disyaki didera bapa tirinya selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah oleh suspek kira-kira pukul 7.30 malam.
Akibat kejadian itu, Muhammad Aqil Hairi disahkan mengalami kecederaan pada bahagian abdomen dalaman seperti koyak pada hati, kesan lebam pada usus dan pendarahan pada pankreas. -UTUSAN ONLINE











