PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menuntut kerajaan persekutuan mengeluarkan perintah supaya semua kilang kimia yang mengeluarkan gas supaya berhenti beroperasi sehingga keadaan penceraman tidak berlaku lagi.
Hassan dalam satu kenyataan berkata, sekolah-sekolah dalam kawasan tercemar juga perlu ditutup sehingga keadaan kembali selamat dan kualiti udara terjamin.
Katanya, kerajaan Pusat perlu segera mengambil alih tanggungjawab berkenaan isu pencemaran daripada kerajaan negeri dan mengerahkan tenaga pakar Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi lain supaya membuat analisis dan pemantauan rapi kualiti udara serta mencari punca sebenar pencemaran gas.
“Saya minta kerajaan negeri memantau dengan serius kes bencana pencemaran ini yang mungkin lebih teruk daripada kes pencemaran di Sungai Kim Kim.
“Jika masalah pencemaran sekarang meningkat menjadi bencana, saya minta Kerajaan Negeri Johor perlu bersiap sedia untuk memohon kepada kerajaan Persekutuan supaya mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang,” katanya. -UTUSAN ONLINE











