PASIR GUDANG – Sebanyak 14 buah sekolah lagi yang berada dalam jajaran lokasi kejadian pencemaran udara di daerah ini diarahkan tutup selama empat hari bermula esok hingga Khamis ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, langkah itu dilakukan bagi menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kepada pencemaran bau yang dikesan di sekolah-sekolah terbabit.
Katanya, sebelum ini Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 diarah tutup sejak semalam.
“Antara sekolah yang terlibat adalah SK Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3 dan SK Taman Cendana.
“Turut ditutup ialah SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai, SK Taman Scientex, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gudang dan SMK Taman Scientex,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon.
Khuzzan berkata, terbabit sama ialah institusi pengajian awam, sekolah agama kerajaan Johor di jajaran yang dikenal pasti serta semua pra sekolah dan tadika. – UTUSAN ONLINE











