KUALA LUMPUR – Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menggesa tindakan segera diambil berhubung isu pencemaran udara yang melanda Pasir Gudang, Johor sejak minggu lalu.
Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata, pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu segera mengenal pasti punca kejadian untuk mengelak rasa panik pada masyarakat.
“Situasi ini perlu ditangani secara bersepadu oleh semua pihak yang terbabit dan komuniti yang berada di kawasan tersebut juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak sebarang bencana.
“Kita tidak mahu kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim pada Mac lalu berulang semula di mana hampir 6,000 penduduk terjejas dan murid-murid turut terjejas pembelajaran mereka apabila 111 buah sekolah ditutup sementara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Halim, MCCF turut menyarankan agar kes pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang dapat ditangani bersungguh-sungguh dan semua pihak yang berkepentingan perlu bekerjasama untuk mencari punca seterusnya mencari jalan untuk memulihkan keadaan. – UTUSAN ONLINE











