PASIR GUDANG – Tidak sampai beberapa jam sesi persekolah dibuka, 32 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok di sini kembali kecoh apabila mengalami sesak nafas, loya dan muntah.
Difahamkan murid-murid mula menunjukkan simptom tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi sebelum pihak sekolah mengarahkan ibu bapa mengambil anak masing-masing untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan.
Ketika ini seramai 32 murid bermula darjah 1 hingga 6 dari SK Kopok dipercayai mengalami simptom terbabit termasuk dua guru yang didapati pengsan.
Pada masa yang sama, pelajar di beberapa sekolah yang terjejas sebelum ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Nusa Damai turut menerima nasib sama.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang arahan sesi penangguhan sekolah daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).
Terdahulu Utusan Online melaporkan sesi persekolahan di 111 buah sekolah di daerah ini yang ditutup bermula 24 hingga 27 Jun lalu mula dibuka hari ini. – UTUSAN ONLINE











