KUALA LUMPUR – Seorang pemuda menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 12, Jalan Kota Samarahan-Mambong, di Kuching, Sarawak awal pagi tadi.
Memetik portal Utusan Borneo, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Noordin Ahmad, 36, dari Kampung Senyawan, Serian, kira-kira pukul 5.15 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Serian menuju ke Kota Samarahan.
“Semasa melalui selekoh di Kilometer 12, Jalan Kota Samarahan-Mambong (berhampiran lampu isyarat kem Tentera Udara Diraja Malaysia), mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alexson memberitahu, semasa kejadian, keadaan jalan gelap dan cuaca pada masa itu baik.
“Mayat mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











