KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik pusat kecantikan yang menjalankan amalan perubatan estetik didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengendalikan klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran sah, pada tahun 2017.
Hakim, Azman Mustapha turut memerintahkan hukuman penjara setahun sekiranya Farabi Ahmad Mohd. Amin @ Che Min, 31, gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tanpa perakuan pendaftaran di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Farabi Ahmad turut didakwa bukan seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dan tidak pernah diberi Sijil Amalan Tahunan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis Raisya Medispa yang beralamat di Lot PT 18092, Kompleks Perniagaan Sura Gate di Dungun pada pukul 11.30 malam pada 13 April 2017.
Oleh yang demikian Farabi Ahmad telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang mana boleh dihukum di bawah seksyen 5(1)(a)(i) Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh diwakili peguam bela, Masliela Ismail dan Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co. – UTUSAN ONLINE











