CYBERJAYA – Pemilik dua buah syarikat dikenakan tindakan saman oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, baru-baru ini kerana memiliki dan menjual kotak TV Android dan AV Sender yang tidak diperakui sah oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Bahagian Penguatkuasaan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, kes pertama melibatkan pemilik perniagaan Media Home Enterprise, Chen Kar Seng yang didapati bersalah memiliki 146 kotak TV Android yang tidak diperakui dengan niat untuk menjual.
“Kes tersebut disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan lelaki berkenaan mengaku bersalah serta didenda oleh mahkamah sebanyak RM40,000.
“Dalam kes kedua, Pengarah Syarikat MSB Technology (Malaysia) Sdn. Bhd iaitu Hing Fook Young, Tan Kim Sia dan Ow Kee Foo didakwa menjual tujuh unit AV Sender yang bertentangan dengan standard, tidak diperakui dan dilekatkan dengan tanda label pemerakuan yang salah.
“Kes berkenaan juga disiasat di bawah peraturan sama dan mereka mengaku bersalah serta dikenakan denda oleh mahkamah sebanyak RM30,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Shafie berkata, semua barangan bagi kedua-dua kes diserahkan kepada SKMM untuk dilupuskan.
Dalam pada itu beliau menegaskan, pihaknya akan terus menjalankan operasi membanteras penggunaan peralatan komunikasi yang tidak diperakui.
Justeru katanya, orang awam diingatkan supaya membeli dan menggunakan peralatan komunikasi yang memaparkan label SKMM sahaja bagi melindungi keselamatan pengguna selain mengelakkan gangguan kepada perkhidmatan komunikasi yang lain.
“Bagi memastikan peralatan komunikasi yang digunakan adalah sah dan diperakui, pengguna disyorkan untuk menyemak status peralatan tersebut menggunakan aplikasi mudah alih Check Your Label ataupun semakan dalam talian di laman sesawang www.ecomm.sirim.my.,” katanya. – UTUSAN ONLINE











