ISKANDAR PUTERI – Seorang pemandu lori mengalami loya, muntah dan merah muka serta mata selepas dipercayai terhidu gas nitrogen dalam satu kejadian berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Sultan Abu Bakar, Gelang Patah di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa berusia 31 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat sini untuk rawatan susulan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd. Kamal Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.10 petang sebelum pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) ditugaskan ke tempat kejadian.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian yang dilaporkan terdapat kebocoran bahan kimia jenis gas nitrogen (UN 1977) pada bahagian pam lori tangki berkenaan.
“Ada seorang mangsa iaitu pemandu lori warga tempatan mengalami muntah, loya serta merah pada mata serta muka selepas terhidu gas berkenaan sebelum dikejarkan ke HSA oleh orang awam untuk rawatan susulan,” katanya.
Mohd. Kamal berkata, selepas melakukan siasatan terperinci pihaknya mengesahkan tiada kebocoran gas berlaku seperti yang dilaporkan. – K! ONLINE











