PASIR SALAK – Seorang lelaki berusia 27 tahun maut akibat kecederaan parah pada kepalanya setelah tersepit pada jentera pengorek atau excavator yang dikendalikannya di bendang Blok A5, Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Mohamad Redzuan Abdullah dari Felcra Changkat Lada disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan excavator itu setelah dimaklumkan oleh ketua kampung di Kampung Bukit Chawi.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang lelaki di kabin bahagian pemandu di mana bahagian kepalanya telah terkeluar dari tingkap dan tersepit antara tingkap tersebut dan lengan excavator.
“Keadaan itu menyebabkan bahagian kanan kepala lelaki itu pecah dan mangsa maut di tempat kejadian. Pemeriksaan yang dilakukan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat parah di kepala,” katanya. -UTUSAN ONLINE











