Parti Negara ingin menyatakan rasa kesal di atas pelantikan keputusan kerajaan melantik Tan Sri Mohd. Bakee Salleh sebagai Pengerusi Felda yang baharu.
Ianya adalah keputusan songsang atau satu langkah ke belakang dari sudut membina Malaysia baru yang telus, transparens dan bernafas baharu.
Tan Sri Mohd. Bakee adalah warisan pentadbiran lalu kerana menduduki banyak posisi utama yang dilantik langsung oleh Perdana Menteri dan pentadbiran lalu.
Ianya sama sekali tidak mencerminkan kerajaan baharu yang memberi ruang kepada tokoh baharu yang mampu membawa nafas baharu kepada imej pentadbiran. Apakah negara ini tidak punya tokoh korporat lain yang benar-benar bersih dari sebarang kaitan dengan pentadbiran lalu? Kerajaan pembaharuan dan reformasi harus punya keberanian menguji dan memberi ruang kepada tokoh muda yang berkaliber bukan sebaliknya.
Lebih lagi bagi sebuah agensi besar dan kritikal kepada rakyat biasa seperti Felda, pelantikan ini tidak membawa harapan baru.
Kami juga kesal dengan kenyataan bahawa integriti merupakan antara faktor pelantikan beliau. Laporan PAC tidak mempamerkan sikap tanggungjawab dan integriti yang utuh dan boleh dibanggakan kerana beliau hanya dilaporkan tidak bersetuju dengan perjalanan 1MDB semasa beliau mengetuainya. Sikap integriti yang utuh seharusnya dipamerkan dengan mengambil tindakan lebih bertanggungjawab dan serius seperti mengambil tindakan undang2 terhadap pimpinan kerajaan pada waktu itu yang lalai demi kepentingan rakyat.
Integriti bukan perkataan biasa yang murah dan boleh digunakan secara simplistik. Ianya membawa makna besar dan hanya layak digunakan kepada entiti yang benar-benar diuji dan sedia berkorban mempertahankan setiap aspek integriti itu sendiri. – UTUSAN ONLINE
Penulis merupakan Presiden Parti Negara
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Utusan Online











