KUANTAN – Langkah seterusnya dalam kerjasama politik antara Pas, UMNO dan pihak-pihak lain adalah menentukan garis panduan serta perkara-perkara berkaitan selepas Pas mendapat mandat dalam persidangannya untuk meneruskan agenda berkenaan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ta’awun siyasi itu dari segi politiknya sudah dibincangkan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan ia dibawa ke Muktamar Tahunan Pas Ke-65 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini untuk pengesahan serta mendapat mandat.
Kata beliau, ia adalah selaras dengan Perlembagan parti itu dan mengikut amalan demokrasi yang perlu mendapat keizinkan dalam muktamar.
“Muktamar kali ini sudah memberi mandat kepada Pas Pusat, pelaksanaannya akan diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hari kedua persidangan itu hari ini.
Terdahulu, Muktamar Tahunan Pas Ke-65 hari ini meluluskan usul agar dimeterai ta’awun dan tahaluf siyasi antara parti itu dengan UMNO.
Usul politik yang diterima untuk dibahas itu dikemukakan oleh Dewan Ulama, Pas Kawasan Pandan, Kota Raja, Serdang, Kuala Pilah, Sungai Besar dan Temerloh.
Usul itu meminta kepemimpinan Pas dan Majlis Syura Ulama menjalinkan ta’awun dan tahaluf siyasi dengan UMNO dan parti-parti politik lain serta mewujudkan garis panduan asas, syarat-syarat dan batas kerjasama politik dengan parti-parti politik tersebut di samping memperkasakan hubungan komponen Gagasan Sejahtera.
Usul kemudian diterima sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan Pas Ke-65 itu sekali gus memberi mandat kepada pucuk kepemimpinan Pas melaksanakannya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mengesyorkan pihak berkuasa mengesan siapa penerbit klip video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan kerana perkara berkenaan dilihat sebagai pendekatan terbaik berbanding mencari ‘pelakonnya’. – UTUSAN ONLINE











