BUTTERWORTH – Seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Tasek Gelugor dekat sini, merupakan antara dua remaja yang ditahan polis kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini kira-kira pukul 2 pagi tadi.
Kedua-dua mereka yang berusia 16 dan 18 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis ibu pejabat daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerusi Op Samseng Jalanan yang diadakan di kawasan itu bermula pukul 12.30 tengah malam.
Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, remaja berkenaan ditahan selepas membuat pelbagai aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain dengan menduga kelajuan motosikal sambil melakukan aksi ‘zig zag’.
Katanya, seorang lagi suspek merupakan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan menyambung pengajian di Politeknik Kubang Pasu dekat sini.
“Beberapa saman turut dikeluarkan terhadap mereka antaranya kerana kesalahan tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada nombor plat hadapan dan ubah suai motosikal,” katanya.
Menurut Noorzainy, kedua-dua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memberi perhatian terhadap aktiviti dan tingkah laku anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak gejala tidak sihat yang akan menyebabkan masa depan mereka tidak terjamin. – UTUSAN ONLINE











