KUALA LUMPUR – Semua murid dan pelajar institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sekitar Johor Bahru setakat ini tidak terjejas berikutan insiden pencemaran udara di kawasan tersebut.
Menteri Pembangunan dan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, dua agensi tersebut telah mengambil langkah awal dengan menutup institusi pendidikan itu sejak dua hari lalu melibatkan kira-kira 2,600 murid dan pelajar.
Katanya, di bawah Kemas, sebanyak 13 kelas Taman Bimbangan Kanak-Kanak (Tabika) dan satu kelas Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Pasir Gudang yang melibatkan 580 kanak-kanak telah diarahkan tutup.
Jelas beliau, sebanyak 14 kelas Tabika dan satu kelas Taska Kemas di Tebrau membabitkan 537 kanak-kanak juga telah ditutup.
“Beberapa institusi pengajian tinggi di bawah Mara iaitu Maktab Rendah Sains Mara Johor Bahru, Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC) di Masai dan Pusat Latihan GiatMara yang terletak di kawasan terjejas itu juga telah ditutup.
“Cuma 561 pelajar UniKL yang sedang menduduki peperiksaan telah ditempatkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) supaya tidak terdedah kepada pencemaran tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendidik Mara 2019 di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Khamis lalu, 15 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 di Pasir Gudang dan dua orang dewasa muntah-muntah dan mengalami sakit tekak akibat pencemaran udara.
Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan berkata, sebanyak 475 institusi pendidikan dalam kawalan Kementerian Pendidikan (KPM) yang terletak di Pasir Gudang ditutup mulai hari ini hingga 27 Jun ini.
Katanya, jumlah itu membabitkan sebanyak 111 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta. – UTUSAN ONLINE











