SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kedai makan maut setelah motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang di Batu 2 Jalan Gurun-Jeniang di sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Syafiq Amransany, 18, dari Taman Mesra Ria Gurun meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi, akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dengan motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggag mangsa.
Katanya, walau bagaimanapun, pemandu kereta, K. Ganesan, 30, dari Kampung Selamat Air Putih, Pendang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Berdasarkan maklumat awal, kedua-dua kenderaan bergerak dari arah sama iaitu dari Gurun menghala ke Jeniang.
“Namun setibanya di tempat kejadian, pemandu kereta dikatakan gagal mengelak lalu merempuh penunggang motosikal dari arah belakang setelah dia (Muhammad Syafiq) mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke bahagian Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











