Pecat Nie Ching - Utusan Malaysia

Pecat Nie Ching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa memecat Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ekoran tindakannya yang mahu menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam Malaysia (Qiam), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, tindakan Nie Ching itu dilihat sebagai cubaan menyemai nilai-nilai liberal yang mengancam dan menolak nilai serta kehidupan berasaskan kepercayaan kepada Islam dan Allah SWT.

Selain itu katanya, tindakan tersebut juga disifatkan ancaman kepada umat Islam dan keamanan negara memandangkan kedudukan Islam yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi.

Memuatkan artikel berkaitan…
SIRAJUDDIN SALLEH
SIRAJUDDIN SALLEH 

“Apakah Nie Ching tidak faham atau buat-buat tidak faham hakikat dan posisi agama Islam? Atau beliau memang sengaja membutakan mata dan hatinya kerana mahu melihat agama Islam sebagai subjek yang boleh dipinda serta direka mengikut selera atau mengikut kepentingan tertentu atau tepatnya mengikut agenda DAP ?

“Beliau seharusnya tahu dan menghormati bahawa kandungan subjek Pendidikan Islam adalah berakar umbi daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Tiada sebarang ajaran Islam yang terkeluar daripada kedua-dua sumber tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini kecoh dalam media sosial mengenai hantaran Nie Ching dalam laman sosial Facebook miliknya yang mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama memberi pandangan dan idea kepada PPKPI.

Bagaimanapun Nie Ching menyifatkan tuduhan bahawa dirinya cuba untuk mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan adalah tidak berasas dan satu fitnah.

Nie Ching berkata, tindakan itu secara tidak langsung bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah turut menjejaskan kredibiliti Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, tindakan Nie Ching itu jelas menunjukkan sikap talam dua mukanya yang berselindung di sebalik istilah ‘penambahbaikan’ dan ‘bermanfaaat’ kepada murid, ibu bapa, guru dan masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini